Assalam...
Semalam tajuk kerinduan hari ini pun nak bagi tajuk kerinduan juga la bleh ke ye? Ehm....
Tadi baca blog Filla terus tangkap dalam, sentap sangat bila baca memang sukar mahu melupakan. Yes! semua orang pasti dah tahu Filla kehilangan adik tersayang ketika bercuti. Ya Allah! syukur sebab dia kehilangan adik di samping keluarga tapi aku kehilangan ayah tanpa siapa-siapa di sisi.
Ye....pernah tak korang terbayang mak korang yang selama ni baik-baik je tiba-tiba menjerit-jerit bagaikan di dera mahupun di sambar halilintar? mesti tak pernah kan. Ini pertama kali aku saksikan tangisan mak yang menderu-deru di tambah dengan rasa kecewa teramat sangat.
Mana tidaknya arwah bapa aku pergi meninggalkan kami semua ketika kami baru saja balik ke tempat masing-masing selepas bercuti raya puasa.
Arwah jenis rajin bekerja, tidak boleh duduk diam di rumah kalau tidak bekerja terasa sakit-sakit badannya. Mak sudah terbiasa di tinggalkan sama ada pagi atau pun petang. Dulu masa arwah kerja pengawal keselamatan mak tidur malam sendirian. Takut atau tidak kata mak nanti dalam kubur pun tidur sorang-sorang. Mungkin juga nak sedapkan hati anak-anak yang duduk jauh.
Mujur beberapa bulan sebelum arwah meninggal abang ke 2 anak ke 3 mak berhenti kerja dan duduk kampung bersama dengan mak. Abang siap beli rumah dan kakak ipar tukar mengajar di kampung. Senang sikit hati kami anak-anak yang jauh sebab mak bapa ada teman kalau sakit pening. Setiap malam abang balik tidur rumah dia dan mak ngan bapa tidur sama-sama di rumah.
Pagi arwah pergi kebun mak puasa sunat syawal, tapi aku tak pasti sudah hari ke berapa. Arwah keluar ke kebun mahu pasang pagar dawai sebab arwah baru je tanam anak pokok getah yang baru. Memang kami terlintas kalau arwah tanam pokok getah nanti siapa yang nak jaga? tapi arwah kata kita tanam dulu nanti kita fikir kemudian. Arwah usahakan juga tanah belakang rumah opah dengan menanam kelapa sawit. Syukur sehingga kini mak dapat merasa hasil penat lelah arwah setiap 20 hari.
Kata orang ajal tak menanti sesiapa, arwah keluar ke kebun selepas sarapan dan dalam keadaan tidak sihat. Mak tegur juga katanya jangan pergi sebab arwah mengadu pening-pening. Tapi katanya kalau tak disiapkan bila lagi nak siap. Rupanya arwah tak nak kami semua dan mak nampak cara dia 'pergi'.
Tengahari aku telephone mak bertanya khabar, tapi kata mak arwah masih belum pulang dari kebun walaupun masa tu dah masuk waktu zuhur. Ish....kebun tu masih boleh dengar laungan azan dari masjid berdekatan dengan rumah dan arwah belum pernah tidak balik selewat itu. Pukul 2 mak terasa tak sedap hati bila aku kata pelik, mak minta abang pergi jenguk di kebun rupanya arwah dah tak ada.
Kesian sebab arwah terbaring di bawah panas terik matahari, kulitnya nampak gelap. Tempat baring pun tak jauh dari tempat arwah meletakkan motor. Kata abang pisau arwah masih elok tersimpan dalam sarungnya. Jadi arwah mati bukan kerana di bunuh. Lega kami tapi di sebabkan arwah mati bersendirian polis perlu dipanggil untuk buat kepastian. Makan masa agak lama, dari waktu zuhur sampai asar baru arwah dipindahkan dan bawa ke hospital.
Aku dapat call dari kakak ipar yang tinggal di Seri Kembangan. Hanya dia yang mampu bagitau adik beradik yang lain, mak di kampung dah tidak keruan, suami dia (abang aku) pun dah tak boleh nak kata apa. Kami semua rapat dengan arwah. Abang yang terjumpa arwah bapa pula lagi lah serba serbi tidak kena. Kata mak mungkin dia meraung di sana bila jumpa arwah terbaring kaku. Entah apa yang jadi cuma dia saja yang tahu.
Aku yang baru lepas masuk office selepas keluar makan pun jadi kaku, lidah jadi keluh tapi air mata yang jatuh menderu-deru tanpa aku minta. Rasanya 1 office boleh nampak mata aku merah walaupun aku tahan-tahan jangan bagi air mata jatuh. Sebelum pulang aku call kakak bagitau, mujur dia off hari tu kalau dia di kilang pasti lagi lewat dia balik kampung.
Aku memandu kereta pulang dengan air mata mengalir tanpa henti. Sama macam yang korang tengok kat dalam drama tv tu la. Sedih gile sampai aku bawa kereta pun laju. Tau-tau je dah sampai rumah. Melangut sorang-sorang sebelum tunggu dear balik rumah. Mujur dear kerja di kawasan yang dekat-dekat kalau jauh aku terpaksa ambil dear nampaknya. Masa ni aku baru 3 bulan mengandungkan Amar. Masuk-masuk rumah terus terduduk teringatkan betul ke tidak apa yang terjadi tapi perlahan-lahan aku mula terima. Dear balik aku terus kemaskan baju dan terus balik kampung. Sebelum tu singgah rumah MIL dan MIL sempat nasihatkan apa yang patut pada dear. MIL nak pergi kampung tapi mungkin esoknya atau lusa sebab tak ada orang nak bawa MIL kesana.
Dalam kereta aku banyak-banyak bacakan Al-fatihah....saat ni terasa rindu sangat nak peluk mak dan nak sangat tengok keadaan arwah bapa. Terkejut hingga terlupa nak bawa buku yassin masuk kereta mahu pun Al-quran. Jadi sekarang aku tinggalkan 2 buku Yassin dalam kereta untuk kecemasan. Beringat bila pernah mengalami.
Sepanjang jalan memang lengang, aku boleh nampak kereta abang aku yang tinggal di rawang dan terjumpa juga abang yang tinggal di Seri Kembangan. Kami sama-sama sampai kampung, setibanya kami arwah pun tiba dari hospital. Terus masuk terkam mak, menderu-deru suara mak menangis mujur ada saudara mara dan jiran-jiran yang bantu tenangkan mak sebelum kami sampai.
Semakin malam semakin ramai yang datang, besan mak dari Kedah dan Teluk Intan pun datang. Yang datang jauh tidur di rumah berhimpit-himpit dengan pak cik mak cik aku semua. Sampaikan besan lelaki dari kedah terpaksa tidur dalam kereta. Kesian sangat bila dapat tahu pagi tu tapi dia kata tak apa. Memang rumah kami luas tapi semua berkumpul jadi penuh maknanya ramai orang yang sayangkan arwah.
Malam kami tak makan, kalau tak silap mak cik aku 2 orang bertungkus lumus memasak di dapur bagi semua makan. Mungkin selera kami hilang dan mak berbuka pun tidak makan banyak. Sekadar yang mampu di telan je. Perit tekak nak menelan sebenarnya, yang mampu meneguk air je.
Kebetulan arwah meninggal malam Jumaat jadi pihak masjid adakan majlis bacaan yassin walaupun ini memang aktiviti wajib di sini. Kiranya arwah rajin pergi solat dan mengaji di sana. Kawan-kawan pun adakan majlis buat arwah di rumah kami. Selepas solat Isyak pak cik mulakan bertadarus Al-Quran bergilir-gilir. Aku pun ikut sama, dapat baca 3 helai je. Banyak-banyak pak cik ngan mak cik aku yang baca. Mata mengantuk jangan cerita lah ditambah pula rasa sakit-sakit mata tu mungkin sebab menangis je sepanjang petang. Sekejap-sekejap tengok arwah, memang sayu kalau dulu kecil-kecil aku takut bila tengok orang mati tapi bila sekarang terjadi pada aku baru aku tidak takut lagi.
Sempat juga lelapkan mata sejam dua malam tu, tau-tau je dah subuh. Dear langsung aku tak ambil tahu tidur dimana dan makan ke tidak. Yes! bila jadi cam ni laki pun bleh aku lupakan. Sentiasa bersama mak, cuba tenangkan mak dan syukur semakin lama mak semakin tenang. Mungkin mak pendam saja perasaan tu sebab mak faham Allah lagi sayangkan arwah dan hidup pasti akan mati juga. Cuma mungkin mak terkilan arwah pergi tanpa mak di sisi.
Pagi-pagi selepas subuh semakin lama semakin ramai yang datang. Masuk hari ke 2 arwah meninggal, hari Jumaat jadi arwah akan di kebumikan sebelum zuhur lagi pun tidak elok di lengah-lengahkan. Kami semua dah mampu makan sarapan pagi tu, seperti biasa tugas dapur mak di ambil oleh mak cik mak cik yang balik kampung. Nak buat macam mana, mak mesti tak boleh fikir dan mesti tak senang duduk kalau nak masak. Tapi sekarang memasak dan bekerja jadi terapi terbaik buat mak.
Syukur juga arwah di solatkan lebih 40 orang kampung dan saudara mara termasuk kawan-kawan arwah yang sama-sama solat jemaah di masjid. Mujur arwah rajin ke masjid jadi sekurang-kurangnya ada kawan-kawan tolong doakan untuk arwah. Penuh 1 rumah dengan orang dan yang pasti aku tak tau dear di mana. Mujur dear boleh ikut abang-abang aku jadi aku tak susah la nak siapkan apa-apa untuk dia. Baju aku dah letak siap-siap dalam beg jadi pandai-pandai sendiri mahu ambil.
Arwah di kebumikan dan aku, mak dan kakak tak ikut sama. Mak pastinya tak sanggup nak tengok jadi kami temankan mak di rumah. Selesai tu baru aku jumpa dear, yes lupa laki sungguh aku ni. Dear bagi aku izin tenangkan mak dan selalu dengan mak takut mak menangis atau buat apa je kan. Mujur mak seorang yang penyabar.
Sungguh terkejut kan, tengahari call mak ok lagi tapi petang tengok dah jadi macam ni. Tapi ini bukan kehendak kami, kalau boleh nak arwah pergi di samping mak pun tak apa. Tapi takdir Allah siapa mampu menghalang.
Syawal lalu sudah 3 tahun arwah pergi. Arwah pergi 10 syawal bersamaan 1 hb Ocktober 2010. Alhamdulillah setiap kali raya aku dapat menjenguk kubur arwah, walaupun tahun pertama dan kedua sangat menyakitkan tapi tahun ke 3 ini kami sudah kuat. Betul cuma masa yang berlalu akan melenyapkan rasa sedih perlahan-lahan. Bukan mudah mahu melupakan sehinggakan setiap kali aku peluk mak pasti ada air mata mak yang jatuh. Aku tak pasti sebab apa tapi aku harap mak menangis untuk perkara-perkara yang baik. Rindu sangat kot, balik kampung pun sekejap kalau dekat memang selalu aku balik. Mudah-mudahan mak sudi duduk di sini nanti andai di izinkan. Tunggu masa yang sesuai je pasti setiap hujung minggu aku jenguk mak.
Al-Fatihah buat arwah, kenangan bersama tersangat sukar untuk aku lupakan.
No comments:
Post a Comment